Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala Puji hanya untuk-Mu ya Allah. Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Tuhan bagi sekalian alam. Tuhan yang mengetahui apa yang zahir dan batin, yang dahulu, sekarang dan selepasnya. Tidak terhitung pujian-pujian kami terhadap-Mu, Engkau sebagai mana Engkau puji diri-Mu ya Allah. Sebagai mana ayat-Mu dalam Surah Al-Imraan (3:26):
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"
Ya Allah tiada apa lagi yang kami mampu lakukan pada hari melainkan berserah dan bertawakkal kepada Engkau ya Allah. Engkau ya Allah yang Maha Adil dan Engkaulah memberi keadilan kepada semua makhluk-Mu. Berilah kami kekuatan dalam mengharungi perjuangan yang penuh rintangan ini. Sesungguhnya Engkau memberi ujian pada kami untuk kami memperoleh kemanisan yang Engkau janjikan kelak.
Ya Allah, Tuhan Maha Penyayang. Bukalah pintu hati mereka, ringankan tangan mereka untuk memberi sokongan kepada pihak kebenaran dan pihak yang mahukan keadilan. Jika pihak kami menang, tidak terhitung kesyukuran kami terhadap-Mu, jika pihak kami kalah, kami redha dan sabar atas ujian-Mu ya Allah. Sesungguhnya Engkau sahajalah yang mengetahui hikmah disebaliknya.
Ya Allah Engkaulah Tuhan Yang Maha Adil keatas sekalian alam. Kami mohon pengampunan dari-Mu ya Allah. Amin
No comments:
Post a Comment